KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal kehilangan penyu yang menjadi ikon kebanggaannya sekiranya ancaman sampah terutama plastik yang kini ‘menguasai’ 40 peratus permukaan laut dunia tidak diatasi dan semakin kritikal menjelang tahun 2050.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, penyu adalah antara hidupan marin yang paling teruk terjejas kerana sering termakan plastik disebabkan keliru ia adalah ubur-ubur.
Menurutnya, kajian saintifik juga pernah melaporkan bahawa sisa plastik di lautan mempunyai bau yang hampir sama dengan makanan semulajadi penyu.
Tambahnya, kewujudan berbilion tan sampah di lautan akan mengelirukan penyu dan meningkatkan potensi haiwan itu makan plastik yang berisiko menjadi punca kematiannya.
“Kitaran hidupnya sangat terancam dengan kewujudan plastik kerana penyu dewasa yang naik untuk bertelur di daratan terganggu dengan sisa plastik di pantai.
“Pengeraman telur pula diganggu dengan kesan pemanasan yang dijana oleh sisa plastik yang terurai dan memberi kesan kepada penghasilan anak penyu jantan.
“Ini memberi kesan berangkai kerana suhu panas akan menghasilkan lebih banyak anak betina yang menyebabkan nisbah jantina penyu menjadi tidak seimbang dan merencatkan proses pembiakan penyu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kajian Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Pentaksiran Impak, Pusat Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung di Pulau Pinang menemui mikroplastik dalam jumlah yang berbeza dalam setiap spesies ikan dengan beberapa jenis menunjukkan tahap pencemaran lebih tinggi.
Penemuan itu amat penting kerana ia memberi gambaran tentang bagaimana mikroplastik berpindah daripada persekitaran laut kepada ikan dan kerang sekali gus membahayakan kesihatan manusia yang memakannya.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzair berkata, proses keluar anak penyu dari sarang ke pantai juga sering terganggu apabila dihalang oleh sampah di pantai dan meningkatkan ancaman mereka dimakan oleh pemangsa.
“Ketika berenang di laut, lebih separuh anak penyu kini dianggarkan telah memakan sisa plastik dan ini sudah tentu mengganggu perkembangan mereka, malah penyu dewasa pula sering ditemukan terdampar di pantai kerana termakan plastik.
“Kepupusan penyu pula pastilah memberi kesan terhadap hubungan simbiosis hidupan marin terutama keterjaminan makanan,” jelasnya. –UTUSAN











