'Ambil tindakan tegas jika guna isu 3R untuk tagih sokongan politik'

‘Ambil tindakan tegas jika guna isu 3R untuk tagih sokongan politik’

MOHD YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang masih menggunakan isu 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja demi menagih sokongan politik.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, semua pihak termasuk ‘cyber troopers’ dan ahli politik harus sedar akan bahaya memainkan ketiga-tiga isu ini kerana ia akan menggores hati serta membangkitkan sentimen perkauman.

“Kita boleh bercakap atas hak agama dan bangsa sendiri dengan menggunakan platform yang betul. Tetapi, jangan menyentuh mengenai bangsa dan agama orang lain sehingga boleh menimbulkan sikap benci membenci sesama rakyat Malaysia,”katanya di sini, hari ini.

Isu 3R kembali hangat diperkatakan selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Susulan itu, pelbagai pihak membidas kenyataan Teresa dan mendakwa pemimpin DAP itu telah menyentuh isu berkaitan 3R.

Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, sikap sesetengah ahli politik yang bercakap isu berkaitan 3R secara sesuka hati adalah tidak wajar dan pihak polis perlu mengambil tindakan termasuk membawa isu tersebut ke mahkamah agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Apa akan jadi dengan negara ini jika rakyat dan orang politik dibiarkan bebas bercakap isu-isu sensitif atas alasan kebebasan bersuara?

“Saya telah menyaksikan peristiwa rusuhan kaum di negara ini dan melihat sendiri kesan buruk akibatnya sehingga melumpuhkan ekonomi negara dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan lampau,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan itulah juga, kerajaan perlu mewujudkan segera Mahkamah Perlembagaan supaya proses mendakwa dan menghukum dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan cepat.

“Selagi kerajaan berlembut dengan isu 3R ini maka selagi itulah isu-isu sensitif ini akan menjadi modal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×