KEMBALINYA sutradara, Kim Taeyoung selepas hiatus sembilan tahun dengan sebuah filem sains fiksyen yang tidak pernah disentuhnya dalam mana-mana naskhah sebelum ini.
Sesuai pengalaman dan semangat untuk keluar dari kebiasaan, Kim membawakan Wonderland, iaitu sebuah dunia balik layar yang menyimpan memori orang yang telah pergi agar kita tidak berasa kehilangan.
Ada gabungan kecerdasan buatan dan dunia virtual dibahaskan filem ini. Kita hanya rasa mereka jauh, tetapi masih ada harapan untuk kembali.
Sangat ironik dengan kematian di mana orang yang telah pergi tidak akan pernah kembali dalam bentuk apapun walau sekuat dan sekerap mana pun kita meminta.

Namun, seperti beberapa naskahnya sebelum ini dalam Memento Mori, Family Ties dan Late Autumn, Kim masih membawakan sentuhannya dengan sisi melankolis, empati dan halusnya perasaan manusia.
Kesemua sentuhan itu dihidupkan dengan jaya oleh pelakon taruhnya, Park Bo Gum, Tang Wei dan Bae Suzy.
Wonderland adalah filem yang memaparkan situasi apa akan jadi jika perasaan manusia diperdagangkan.
Kesedihan kerana tidak rela melepaskan orang yang disayang menjadi bahan jual beli manusia yang merasakan teknologi boleh menembus pintu alam berbeza.

MENDATAR, TIDAK MENYENTUH
Namun begitu, malangnya, saya merasakan pengagihan plot ceritanya mendatar. Tidak benarbenar menggenggam perhatian saya sehingga selesai tayangan.
Jika harus jujur, pembuka filemnya sudah okay dengan sedikit teka-teki membuat penonton tertanya-tanya mana satu realiti, mana satu pula yang palsu.
Memasuki aksi kedua filem ini, kekeliruan tentang maksud realiti masih ditunjukkan dengan pukulan konflik yang sama.
Tidak ada gelombang baru yang menangkap. Masih seputar cerita cinta dan kekeluargaan Jeong-in, Tae-joo, Bai-li, Sung-joon yang sejujurnya, membosankan.
Wonderland kurang rencahnya seperti ada perbahasan dari aspek nilai atau falsafah hidup tidak dihurai lebih mendalam.
Kim membincangkan ‘tree of life’ yang menjadi perbincangan dalam mitos kuno sejak Mesapotamia.

Membicarakan bagaimana hidup selalu dilambangkan sebagai sebuah pokok yang mana tingginya menggapai syurga. Tetapi dalam Wonderland, cara huraiannya seperti tergesa-gesa dan tidak menyentuh lebih halus seperti sepatutnya.
Saya tahu ramai yang menangis dengan beberapa adegan dalam naskhah ini. Tapi dalam pengalaman saya, tidak dinafikan ada babak yang menyentuh namun tidaklah sampai meruntun atau membuat saya teringat-ingat selepas layar ditutup.
Satu-satunya nilai komersial yang bertahan untuk menjual Wonderland mungkin khabar angin percintaan antara Suzy dan Bo Gum.
Beberapa penonton mungkin terpancing menonton naskhah ini kerana beberapa keping gambar mereka dalam Wonderland menjadi tular.
Tetapi dari segi cerita, saya tidak rasa ia akan mencipta fenomena atau boleh dibincangkan secara dalam dan kritis sehingga bertahun-tahun selepas ini.










