KUALA TERENGGANU: Seorang wanita didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat hantaran jelik di aplikasi TikTok, tahun lalu.
Tertuduh, Eni Nooryanie Mohamad, 42, turut berdepan hukuman pemenjaraan tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Eni Nooryanie didakwa membuat penghantaran bersifat jelik secara sedar dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menerusi TikTok pada 25 April 2023 pada pukul 10 malam.
Hantaran tertuduh mengeluarkan kata-kata bersifat jelik dan kesat itu disedari pengadu yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) keesokan hari.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah 233(3) Akta yang sama.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.- UTUSAN










