PETALING JAYA: Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) menuntut tindakan lebih tegas kerajaan dengan mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disifatkan sebagai derhaka selepas keceluparan pemimpin utamanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengheret institusi diraja dalam ceramah politiknya.
Pengerusi UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terhadap Muhyiddin memberi bayangan serius tentang kewibawaan seorang bekas perdana menteri.
Menurut beliau, Muhyiddin seharusnya menunjukkan tauladan dan rasa hormat terhadap institusi raja terutama dalam ucapan awam.
Justeru, katanya, kenyataan Muhyiddin kontradik dengan laungan beliau dan parti Bersatu yang sebelum ini mendakwa kononya mahu menjadi benteng menjaga agama, bangsa, negara serta mendaulatkan raja-raja Melayu.
“Sikap politik kandang yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini jika dibiarkan boleh membenihkan hingga merosakkan pemikiran anak muda dalam negara kita.
“Sikap berpolitik beliau yang tidak terikat pada moral atau etika hanya bertujuan menghalalkan cara.
“Oleh kerana itu, Muhyiddin Yassin sanggup melanggar ‘border line’ sebagai seorang bekas Perdana Menteri dengan mencipta persepsi dan menyebar sentimen separuh benar yang boleh mengelirukan rakyat terutamanya anak muda,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, Muhyiddin berdepan pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, hari ini.
Tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh dibuat berikutan tindakannya menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) semasa berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perasu semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zuhir berkata, perkara ini boleh menimbulkan kebimbangan mengenai implikasi jangka panjang terhadap kestabilan dan keharmonian hubungan antara rakyat, kerajaan, ahli politik dan institusi raja.
Katanya, ia termasuk persepsi generasi baharu terhadap peranan Raja-Raja Melayu.
“UMNOSiswa dengan tegas tidak boleh membiarkan sahaja pemain-pemain politik ini membenih politik seperti ini kerana nanti apakah generasi kami di masa akan datang akan menuai hasil nya.
“Justeru, UMNOSiswa menuntut agar Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden PPBM atau tindakan lebih tegas oleh kerajaan dengan mengharamkan parti yang derhaka ini.
“UMNOSiswa menaruh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan badan pendakwaan untuk menjalankan tugas agar rakyat melihat perkara berkaitan 3R (raja, agama dan kaum) tidak boleh dijadikan modal politik sempit oleh sesiapa pun walaupun bekas perdana menteri.
“Dengan tindakan pantas serta tegas ini nanti sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat terhadap ketegasan pelaksanaan undang- undang dan menyelamatkan generasi muda daripada menuai benih politik kotor,” katanya. – UTUSAN










