Tukar pemimpin jawapan orang malas - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Tukar pemimpin jawapan orang malas – Tengku Zafrul

Pemimpin UMNO
TENGKU ZAFRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: UMNO tidak memerlukan pertukaran pemimpin untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu, sebaliknya perubahan dari sudut pendekatan dan dasar perlu berlaku di peringkat kepemimpinan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, desakan supaya pemimpin meletakkan jawatan apabila parti kalah pilihan raya sebagai jawapan orang yang malas.

Menurutnya, perkara yang patut dilakukan adalah kesemua peringkat ahli termasuk pemimpin dan akar umbi perlu berubah sikap atau usaha memperkuatkan UMNO melalui penyertaan Kerajaan Perpaduan akan terbazir begitu sahaja.

“Mesej saya ketika berucap pada mesyuarat semua cawangan sama dan konsisten, semua ahli UMNO di peringkat mana sekali pun perlu membuat perubahan supaya UMNO dapat kuat sekali lagi.

“Takkan langkah berani terbazir begitu sahaja, Presiden beri UMNO satu lagi peluang, takkan kita selesa dan business as usual, tak ada usaha untuk kuatkan UMNO. Jawapan ubah pemimpin adalah lazy answer.

“Kalau kita di peringkat cawangan dan negeri masih berlagak macam kita berkuasa, bunuh membunuh, syok sendiri, hasilnya akan sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.

Jelasnya, antara lain perubahan yang dilakukan beliau di peringkat bahagiannya sendiri seperti mengenengahkan program atau dasar yang mempunyai pulangan pelaburan (ROI) dan impak supaya kerja dapat dilakukan dengan cermat.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menzahirkan harapan supaya terdapat calon Barisan Nasional (BN) khususnya parti tersebut untuk dicalonkan dalam salah satu daripada empat kerusi terdapat di Parlimen Kota Raja.

“Di atas semangat Kerajaan Perpaduan, kami ada satu hajat di hati, depan rakan-rakan (Pakatan Harapan) kita saya hendak sebut, daripada empat kerusi dahulu, berilah peluang kepada UMNO Kota Raja ambil satu, tak minta banyak, kami tahu hendak ukur baju di badan sendiri cuma harapan kami.

“Saya beri komitmen jika kerusi itu diberi, bukan hanya kami buat yang terbaik, tetapi semangat perpaduan yang dicetus akan membuat kami jauh lebih semangat untuk membantu kemenangan semua kerusi-kerusi di Parlimen Kota Raja,” jelasnya.

Tambahnya lagi, UMNO Kota Raja turut memberi jaminan dengan menyatakan komitmen untuk menguatkan semangat perpaduan bersama komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan menguatkan UMNO selain membuktikan calon mereka boleh membuat kerja dengan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×