Tongkang langgar bot dikenal pasti - Utusan Malaysia

Tongkang langgar bot dikenal pasti

SEBUAH bot Maritim Malaysia rondaan untuk mengesan bot yang karam dan dua lagi mangsa yang belum ditemukan di perairan Kemaman di Kemaman, hari inim. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengenal pasti tongkang yang dipercayai terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah bot di perairan Kemaman, Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, bagaimanapun siasatan lanjut berkenaan tongkang itu akan dilakukan pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM)

“Tongkang yang dipercayai terlibat (dalam pelanggaran) itu kita dah kenal pasti, namun siasatan kita serahkan kepada JLM kerana ianya di bawah bidang kuasa agensi tersebut,” katanya ketika dihubungi,hari ini.

Muhamad Faisal berkata, meskipun operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa iaitu Yusuf Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25, telah ditamatkan pada petang Rabu, namun pencarian masih diteruskan dengan rondaan harian oleh kapal Maritim Malaysia.

“Kita juga telah membuat hebahan kepada nelayan di sekitar perairan Terengganu dan Pahang mengenai pencarian kedua-dua mangsa dan kita minta komuniti nelayan menghubungi segera pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang objek yang dipercayai mangsa,” katanya.

Ditanya mengenai bot yang terlibat dalam insiden itu, Muhamad Faisal berkata, bangkai bot tersebut masih tidak ditemui sepanjang empat hari pencarian meskipun pasukan penyelam telah melakukan selaman selama dua hari.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi pada Ahad, bot yang dinaiki sembilan pemancing termasuk dua tekong karam dipercayai dilanggar tongkang kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.

Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.

Lima mangsa yang selamat ialah Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini,30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN