TMPs: 1.5 juta pengunjung serbu Perlis dalam lima bulan - Utusan Malaysia

TMPs: 1.5 juta pengunjung serbu Perlis dalam lima bulan

WAN ZIKRI AFHTAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 1.5 juta pelancong telah berkunjung ke negeri ini yang direkodkan melalui setiap pintu sempadan sejak penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 bermula awal tahun ini.

Kehadiran pengunjung yang direkodkan itu adalah berdasarkan kepada data dikeluarkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri (Motac) setakat Mei lepas.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, kerangka pelancongan Perlis menekankan beberapa aspek antaranya seperti memperkukuhkan pintu masuk utama di sini dengan memastikan pembangunan fizikal yang kondusif, selesa dan mampan.

“Ini adalah bagi membentuk elemen ‘Sense of Welcoming’ yang berkesan dan memastikan kehadiran pelancong dalam skala lebih besar,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Wan Zikri berkata demikian ketika menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) berhubung tindakan kerajaan negeri dalam memperkemaskan sektor pelancongan bagi menarik kehadiran pengunjung bersempena TMPs ini.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan produk ikon pelancongan baharu sebagai pemangkin kepada pembangunan sektor berkenaan.

“Ini antaranya seperti memperkenalkan produk kraftangan tempatan, makanan tradisi negeri, alunan muzik budaya tempatan dan sebagainya. Produk-produk ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan negeri berkeyakinan penganjuran acara pelancongan berskala besar seperti Pesta Angin Timur dan Pesta Air Tradisional Kuala Perlis akan berupaya menarik lebih ramai pelancong ke Perlis.

Katanya, ini jelas terbukti apabila terdapat peningkatan pengunjung direkodkan pada Pesta Angin Timur 2024 lalu dengan kehadiran seramai 376,269 orang.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sektor pelancongan dengan membuat penambahbaikan dan mengatasi kelemahan yang ada dengan memberi fokus kepada elemen baharu disamping menaik taraf pusat pelancongan sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN