PETALING JAYA: Semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan perlu mendukung hak wartawan dan menghormati peranan media dalam negara ini, kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Syahredzan berkata, kerahsiaan sumber merupakan salah satu tonggak penting dalam kewartawanan dan profesion tersebut yang mempunyai tanggungjawab untuk melindungi sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.
Kata beliau, kerahsiaan itu penting supaya pihak media dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan lancar.
Menurut beliau, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kod etika kewartawanan di seluruh dunia.
“Malahan, badan Kehakiman juga telah mengiktiraf hak untuk melindungi kerahsiaan sumber dalam beberapa kes, walaupun hak tersebut tidak mutlak.
“Tidak dinafikan bahawa terdapatnya keperluan supaya pengamal media bertanggungjawab terhadap apa yang mereka terbitkan, tetapi hak untuk melindungi kerahsiaan sumber itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
“Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menggunakan peruntukan undang-undang jenayah untuk memaksa atau mendesak wartawan untuk mendedahkan sumber mereka,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pengamal media dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan mengenai mana-mana sumber berita yang diperoleh.
Itu ingatan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan siasatan Bukit Aman terhadap artikel dikeluarkan portal berita Malaysiakini.
Fahmi berkata, walaupun kementeriannya menghormati hak media untuk melindungi sumber mereka, namun undang-undang sedia ada masih terpakai.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung artikel Malaysiakini yang mendakwa ibu pejabat polis Bukit Aman merancang rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis di Bukit Aman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Di bawah Seksyen 505(b), ia berkenaan dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya seseorang itu mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.
Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berkenaan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Laporan Malaysiakini memetik sumber sebagai mendakwa Bukit Aman merancang beberapa pemindahan berprofil tinggi dan nama yang dikaitkan termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri, Mohd Shuhaily Mohd Zain.- UTUSAN










