Kongres khas DAP kekal 12 Julai ini

Kongres khas DAP kekal 12 Julai ini

SYAHREDZAN JOHAN sewaktu ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kongres khas DAP kekal akan diadakan pada 12 Julai ini walaupun terdapat desakan supaya ia diawalkan berikutan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Pengerusi Kebangsaannya, Syahredzan Johan berkata, setakat ini tiada perubahan tarikh membabitkan kongres khas yang diadakan bagi menentukan sama ada pemimpin-pemimpin DAP akan melepaskan jawatan di dalam Kabinet dan pentadbiran kerajaan.

Kata beliau, pendirian DAP kekal sama seperti yang disampaikan oleh Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.

“Tentang desakan RCI dan sebagainya, itu telah dibawa ke dalam Kabinet dan tadi pun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada sebut (bahawa) ada bincang (dan) kenyataan akan dikeluarkan.

“Jadi pada kami, sudah tentu ia satu perkara yang penting dan sepatutnya dibincangkan tapi setakat yang boleh saya katakan, berpandukan kepada apa yang disebut oleh Setiausaha Agung kerana pendirian parti disampaikan olehnya, itulah pendirian yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini hari ini

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, kongres khas itu mungkin diawalkan jika mesyuarat Kabinet pada hari ini menolak cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan bahawa SPRM bersekongkol dengan ‘mafia korporat’.

Beliau berkata, Anthony Loke dan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo turut bersetuju tentang keperluan RCI itu ditubuhkan

Katanya, dakwaan bersekongkol adalah jauh lebih serius daripada dakwaan mengenai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini.

Sementara itu, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi itu menafikan bahawa kongres khas itu untuk mendesak Anwar.

“Eh tidak, kongres khas itu untuk menilai semula keberadaan kita dalam kerajaan Persekutuan dari segi jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya

“Seperti yang disebut oleh Anthony Loke, kita akan menyokong kerajaan ini hingga akhir Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN