PARLIMEN: MyCC bakal ada kuasa halang monopoli, pembentukan kartel

PARLIMEN: MyCC bakal ada kuasa halang monopoli, pembentukan kartel

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bakal mempunyai kuasa baharu untuk menghalang pembentukan kartel atau monopoli pada peringkat awal menerusi pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 kelak. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd. Ali bagaimanapun tidak menjelaskan garis masa pindaan terhadap akta tersebut. 

“MyCC akan membentang pindaan kepada Akta Persaingan 2010 yang antaranya memperkenal kuasa baharu kepada MyCC untuk mengawal penggabungan dan pengambilalihan supaya memberi jalan baharu untuk MyCC menghalang daripada awal pembentukan kartel atau monopoli,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam. 

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan [PH-Bangi] meminta kementerian menjelaskan langkah-langkah bagi mengelakkan situasi monopoli kartel bahan makanan asas pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, kata Armizan, MyCC mengambil pendekatan dengan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi relevan. 

Jelasnya, ini termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

“Salah satu cara adalah dengan menubuhkan satu jaringan kerjasama di semua peringkat untuk membanteras kartel secara strategik dan efektif,” katanya.

Katanya, MyCC juga menjalankan kajian semula pasaran dalam sektor atau pasaran tertentu terutama melibatkan makanan dan pertanian.

Jelasnya, ia untuk mengenal pasti isu persaingan yang berpotensi mengganggu gugat proses persaingan dalam pasaran, sekali gus menjejaskan kos sara hidup rakyat.

Untuk rekod, katanya, MyCC mengeluarkan lebih 100 nasihat dasar dan 40 nasihat ekonomi kepada beberapa kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan dasar kerajaan sejajar dengan prinsip persaingan.

“MyCC sebagai penasihat kerajaan dalam isu persaingan, mengeluarkan nasihat dasar dan ekonomi kepada kementerian serta agensi kerajaan berkenaan isu-isu persaingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN