Tiada jualan diesel, petrol berulang pada hari sama di Kedah - Utusan Malaysia

Tiada jualan diesel, petrol berulang pada hari sama di Kedah

AZMAN Adam menyerahkan surat arahan pengawal bekalan kepada pengusaha stesen minyak negeri Kedah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Semua pengusaha stesen minyak di negeri ini diarahkan tidak menjual diesel dan petrol secara berulang kepada kenderaan tempatan serta asing pada hari sama, bermula hari ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, arahan itu dikeluarkan kepada kesemua 375 stesen minyak dan pemegang lesen runcit diesel serta semua gred petrol di Kedah.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat arahan tersebut dalam sesi perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha stesen minyak di negeri ini.

“Arahan ini dikeluarkan mengikut Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari sama kepada kenderaan berpendaftaran Malaysia dan asing yang berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kedah sini, hari ini.

Sebelum ini, Perlis menjadi negeri kedua yang diarahkan supaya tidak menjual diesel dan petrol secara berulang selepas Kelantan melaksanakan arahan itu bagi penjualan RON95.

Sementara itu, Azman berkata, pemantauan KPDN mendapati, penjualan minyak diesel di stesen minyak berhampiran sempadan negara mengalami penurunan mendadak iaitu sebanyak 40 peratus namun sindiket penyeludupan telah mula beralih kepada aktiviti menyeleweng petrol RON95.

“Bagaimanapun, kita masih lagi meneruskan Op Tiris 3.0 termasuk terhadap diesel bagi memastikan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barangan dan kawalan bersubsidi dapat dibendung,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 26,891 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan premis bermula 1 Januari hingga kelmarin.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,821 kes telah diambil tindakan melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM71 juta.

“Selain itu, kita juga turut menangkap seramai 446 individu melibatkan warganegara, penduduk tetap dan warga asing sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN