Terokai peluang eksport produk ke Thailand

Terokai peluang eksport produk ke Thailand

IZIZAM Ibrahim (kanan) dalam majlis penutup ASEAN Halal Expo 2024 (AHEX’24) dan prapelancaran Festival Maroi di ASEAN Mall, Pattani, Thailand semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI, THAILAND: Usahawan dari Malaysia khususnya Perlis perlu merebut peluang untuk mengeksport produk masing-masing ke Thailand melalui hab halal yang disediakan terutama di ASEAN Mall di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana, Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, dalam dunia perniagaan yang kompetitif,  usahawan perlu bertindak segera berdasarkan konsep first move advantage (pertama masuk pasaran) dan strategi lautan biru dengan mendahului pesaing-pesaing lain dalam memasuki satu industri atau pasaran.

Katanya, peluang tersedia itu juga adalah selari dengan hasrat kerajaan Thailand yang mahu menjadikan wilayah selatan negara itu sebagai hab halal ASEAN pada 2027.

“Dengan konsep itu, usahawan dan ahli perniagaan akan dapat menikmati kelebihan awal dan bukannya tunggu dan lihat yang akhirnya menyebabkan kita ketinggalan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup ASEAN Halal Expo 2024 (AHEX’24) dan prapelancaran Festival Maroi di ASEAN Mall, Pattani di sini, semalam.

Tambah Izizam, industri halal di negara-negara ASEAN kini menunjukkan perkembangan yang cukup memberangsangkan.

Katanya, pertumbuhan tahunan industri halal juga pada tahap memberangsangkan, iaitu jangkaan sekitar lapan hingga 10 peratus. 

Malah katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, pelaburan dalam pembangunan infra halal seperti pusat penyelidikan zoo perdagangan dan pusat pengedaran akan meningkat di seluruh ASEAN.

“Saya juga yakin ASEAN Mall di Pattani akan berkembang pesat sebagai hab halal utama pelbagai produk keluaran syarikat Malaysia dan Thailand. Malah, sepanjang lima hari berlangsung AHEX 2024, kita menyaksikan sendiri betapa pentingnya peranan Asean Mall dalam membantu usahawan ASEAN menerokai pasaran Thailand.

“Ia sekali gus menjadikan ASEAN Mall di Pattani sebagai pintu masuk untuk produk-produk halal. ASEAN Mall Pattani adalah lambang kemajuan umat Islam dalam menyusun rantaian bekalan produk halal dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Settha Thavisin juga sebelum ini bersetuju menjadikan utara Malaysia dan Selatan Thailand sebagai Zon Keamanan. Ia akan menjadikan wilayah Selatan Thailand akan lebih stabil melalui proses pembangunan ekonomi yang pesat apabila sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan mula berkembang,” katanya.

Katanya Izizam lagi, sebagai zon perdagangan utama, Selatan Thailand telah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam membangunkan kawasan hab halal terkemuka.

“Perancangan strategik Thailand untuk menjadi hab halal ASEAN adalah langkah dalam konteks kerjasama Malaysia dan Thailand serta insentif Pertumbuhan Segitiga subwilayah Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

“IMT-GT ini membuka peluang dalam mengembangkan ekonomi antara negara-negara ASEAN serta peluang perniagaan usahawan-usahawan ASEAN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN