Tedy Teow juga dalam senarai dikehendaki PDRM

Tedy Teow juga dalam senarai dikehendaki PDRM

Tedy Teow Wooi Huat -FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ahli perniagaan Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat yang diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan pada Selasa lalu oleh pihak berkuasa Thailand turut dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pemerdagangan orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Tedy Teow yang merupakan warganegara ini dikehendaki PDRM atas kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurutnya, individu itu dipercayai telah mendalangi sindiket tertentu untuk melakukan eksploitasi terhadap warganegara asing bagi melakukan aktiviti penipuan atau scam.

“Waran tangkap dan permohonan ekstradisi pernah dibuat PDRM ke atas beliau pada Mac tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, PDRM masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berkaitan keputusan mahkamah yang memerintahkan beliau diekstradisi ke China,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tedy Teow telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada 2022.

Bagaimanapun, pengasas Kumpulan MBI itu diekstradisi dari Penjara Tahanan Bangkok dengan menaiki pesawat ke China pada Selasa lalu bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Laporan portal di Thailand menyatakan ahli perniagaan berusia 58 tahun itu diserahkan kepada kedutaan China di Thailand dengan kawalan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa China dan Thailand.

Penerbangan asal untuk menghantar beliau telah diubah pada saat akhir, dengan suspek dihantar pulang menggunakan penerbangan lain.

Tedy Teow dipindahkan ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, dengan pegawai dari kedua-dua pihak menguruskan proses ekstradisi selain pihak imigresen membantu proses itu seperti yang diperintahkan mahkamah.

Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Tedy Teow selepas visanya dibatalkan.

Dia dituduh mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan urusniaga multi level marketing.

Susulan itu, polis China memohon penangkapan Tedy Teow dengan mengeluarkan notis merah melalui Interpol pada 9 November 2020 setelah dilaporkan dia menipu sehingga dua juta orang, dengan ramai warga China menjadi mangsa skim penipuannya.

Di Malaysia, pihak berkuasa telah membekukan 91 akaun bank yang dikaitkan dengan MBI Group International bernilai RM177 juta, dan Bank Negara, Bank Pusat Malaysia, telah menyenaraikan MBI sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN