SHAH ALAM: Tauliah mengajar agama Islam Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid ditarik balik berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah pada tarikh tersebut.
“Surat penarikan dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah MAIS pada 31 Julai 2024 dan Don Daniyal diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuatkuasa daripada surat penarikan tauliah diterima.
“Keputusan penarikan tauliah mengajar Don Daniyal dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial berhubung surat edaran MAIS yang bertarikh 6 Ogos lalu kepada masjid dan surau daerah di Selangor.
Surat tersebut menyatakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar terhadap lima pemegang tauliah MAIS termasuk kepada Ustaz Don berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Mengikut surat edaran terbabit, tauliah mengajar bagi pendakwah selebriti tersebut adalah sepatutnya bagi tempoh 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.
Selain Ustaz Don, empat individu lain yang turut menerima nasib sama termasuk Mohd Shahabudin Md Yatim, Mohd Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.
Terdahulu, pendakwah terkenal itu dilapor mengambil sikap berlapang dada dengan kritikan pedas yang dilemparkan warganet terhadapnya.
Menurutnya, dia tidak berkecil hati dan beranggapan masyarakat awam di laman sosial tidak tahu secara terperinci kemelut yang melandanya sejak Jun lalu.
“Saya baca semua komen mereka (warga maya) di internet. Tidak mengapa, kerana mereka tidak tahu.
“Dalam Islam juga ada berkata, pena diangkat (kategori) dalam tiga jenis orang iaitu orang tak tahu menjadi tahu, orang yang lupa sampai dia ingat, orang yang tidur sampai terjaga, ujarnya. – UTUSAN










