Tanggungjawab rakyat pelihara kemerdekaan negara – Anwar

Tanggungjawab rakyat pelihara kemerdekaan negara – Anwar

FADILLAH Yusof bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (tiga dari kanan) dan cucu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tunku Muinuddin Tunku Ahmad Nerang (dua dari kanan) melihat pameran dalam Program Mengenang Negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haji di Bukit Jalil, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia memelihara kemerdekaan dan memberi makna kepada negara yang bebas dan berdaulat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab itu adalah selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang sentiasa hormat-menghormati.

Selain itu, katanya, hasrat kerajaan juga meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang meliputi sifat ihsan dan saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa persengketaan.

DIPELIHARA

Katanya, kemerdekaan yang diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hendaklah sentiasa dipelihara dengan seluruh rakyatnya hidup aman dan sejahtera selama-lamanya.

“Sesungguhnya, negarawan ulung ini membina, mencorak dan membuka langkah supaya Malaysia menjadi negara yang berjaya bukan hanya dari segi pembangunan, malah kualiti rakyatnya.

“Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada Februari 1972 juga meng­akui ketokohan Tunku Abdul Rahman dengan menyatakan bahawa beliau telah muncul pada saat penting dalam sejarah perjuangan bangsa.

“Di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman banyak terlaksananya projek-projek pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi meningkat sosio ekonomi rakyat dan negara.

“Saya percaya, tema Negarawan Sejuta Jasa amat tepat bagi menggambarkan pengorbanan, sumbangan dan jasa Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Mengenang Negarawan, Tun Abdul Rahman Putra Al-Haj ‘Negarawan Sejuta Jasa’ di Piazza, Pavilion, Bukit Jalil di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

SUMBANGAN

Mengulas lanjut, kata Anwar, Tunku Abdul Rahman banyak memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam di dalam dan luar negara, malah mengilhamkan pertandingan membaca al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, Tunku Abdul Rahman menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi membantu dan membimbing golongan mualaf yang baharu memeluk Islam.

“Beliau juga menyertai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam dan menjadi Setiausaha Agung OIC yang pertama,” katanya.

Katanya, Tunku Abdul Rahman menyumbang dalam bidang kesukanan berikutan minatnya mendalam terhadap sukan bola sepak.

“Beliau adalah pengasas Pesta Bola Merdeka yang popular dan pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Presiden Konfe­derasi Bola Sepak Asia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×