ZULKARNANIN Azhar memberikan naskhah aksi kenegaraan terbaharunya menerusi Takluk: Lahad Datu.
Sebuah naskhah yang diinspirasi daripada peristiwa hitam negara, ketika Lahad Datu diceroboh oleh pemberontak Sulu menyebabkan lebih 10 wira negara gugur akibat pertempuran itu.
Zulkarnanin membawa fokus bagaimana sekumpulan komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka strategi sekali gus memberi gambaran kejahatan dilakukan pemberontak yang selama ini hanya diketahui melalui cakap-cakap orang.
Takluk adalah projek kedua Zulkarnanin membawakan naskhah nuansa sebegini ke layar selepas Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pada 2022 dengan kutipan RM30 juta.

Zulkarnanin kembali mempercayai teknik hero berkumpulan, di mana titik gerak cerita bukan tertumpu kepada perjalanan heroik individu semata-mata.
Acuan sama yang dilakukannya ketika menulis Air Force. Namun satu hal yang saya rasa selepas menonton Takluk adalah kelemahan Zulkarnain membentuk setiap karakter yang kurang ditampilkan secara adil di layar.
Karakternya wujud secara berkumpulan, namun tiada yang benar-benar memberi kesan. Saya pernah menonton lakonan Kamal Adli dan Syafiq Kyle yang lebih menonjol sebelum ini.
Namun malangnya, lakonan mereka dalam naskhah ini tidak berjaya memberikan saya impak serupa.

Jauh lagi memukau. Namun, saya harus berikan pujian bagaimana Zulkarnanin memilih mata seorang Eman Manan sebagai pemberontok dengan gandingan Nasir Jani.
Ada aura seram cuma sayangnya dialog dan adegan mereka hanya begitu-gitu saja di depan cawan kopi.
Bukan itu sahaja, cubaan Takluk menciptakan unsur emosi dan melankolis dalam naskhah ini tidaklah jauh beza dengan Air Force, namun untuk saya ia terlalu ‘kosmetik’ dengan dialog yang tidak cukup halus menyentuh.
Pun begitu, kerana ini adalah filem aksi, Zulkarnanin wajar dipuji kerana berjaya tampil dengan pelbagai jenis aksi lawan, kerambit, parang, senapang dan beberapa adegan yang tidak menyenangkan.
Saya boleh katakan Takluk lebih menonjol daripada aspek aksi berbanding naskhah sebelum ini menunjukkan Zulkarnanin peka dengan usaha menambah baik kualiti di dalam filem.
Sehingga kini, pengkarya Malaysia tidak banyak yang berani bermain dengan genre aksi kenegaraan kerana mencabar baik dari segi pembikinan, kos juga penerimaan.
Namun genre ini semakin ke hadapan dengan usaha pembikin seperti Zulkarnanin yang rajin melawan norma.
Walaupun begitu, saya yakin jika peluang terus diberikan, Zulkarnanin boleh menciptakan cita rasa baharu dalam filem aksi kenegaraan dengan acuan lebih halus dan garapan lebih kemas menceritakan insiden kompleks yang kurang difikirkan rakyat Malaysia.










