Lubang benam: DBKL, syarikat utiliti diminta bekerjasama buat pemetaan

Lubang benam: DBKL, syarikat utiliti diminta bekerjasama buat pemetaan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama membuat pemetaan utiliti bawah tanah ketika pembangunan sesuatu projek.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah itu bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, pemetaan utiliti penting bagi melihat keadaan di bawah tanah apabila kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan serta kabel elektrik dan ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

“Saya terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) contohnya, tetapi tiada di dalam peta.

“Jadi, saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tetapi juga pemetaan utiliti. 

“Saya serahkan kepada Datuk Bandar dan sudah pasti kami dalam kalangan Ahli Parlimen akan menyokong,” katanya selepas program Gotong-royong Mega Merdeka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, hari ini. 

Sementara itu, Maimunah berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat melibatkan semua agensi yang mempunyai utiliti bawah tanah bagi membincangkan berkenaan pemetaan.

Ia bagi mengelakkan insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Jalan Masjid India melibatkan seorang wanita warganegara India, semalam.

“Saya telah pun melihat bahawa kita mempunyai Sistem Maklumat Geografi (GIS). Kita juga perlu ada pemetaan yang bukan sahaja dari segi utiliti malah pemetaan dari segi kemudahan-kemudahan DBKL.

“Contohnya di kawasan lapang. Mana yang telah diwartakan dan mana yang telah pun ada vandalisme serta yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Maimunah turut memaklumkan bahawa DBKL telah memetakan 35 lokasi tumpuan (hotspot) banjir setakat ini berikutan cuaca hujan.

“Sebelum ini ada 21 hotspot banjir dan disebabkan perubahan cuaca, kita dalam beberapa hari yang lalu telah melakukan perbincangan dan melihat ada 14 hotspot lagi yang dikenal pasti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×