GAZA: Hamas mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menetapkan syarat baharu di dalam rundingan gencatan senjata di Doha yang boleh menghalang penyelesaian perjanjian itu.
Tambahnya, syarat tersebut dilihat sejajar dengan perancangan Netanyahu di mana beliau menolak gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuh tentera rejim Israel dari Semenanjung Gaza dan meneruskan pendudukan haram di Persimpangan Netzarim yang menjadi pemisah antara utara dan sempadan Semenanjung Gaza.
“Dia (Netanyahu) juga menetapkan syarat baru dalam fail pertukaran tebusan dan menarik balik syarat lain, yang menghalang kepada penyempurnaan perjanjian itu,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Berikutan pusingan rundingan di Doha pada baru-baru ini, Hamas mengesahkan bahawa Netanyahu sekali lagi masih meletakkan halangan dalam cara mencapai persetujuan, menetapkan syarat dan tuntutan baru untuk mensabotaj usaha pengantara dan meneruskan perang.
Kumpulan itu tetap bertegas bahawa mereka sentiasa memberi komitmen mengenai isi kandungan perjanjian tersebut, yang turut dipersetujui oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Ia menyeru pengantara untuk memenuhi tanggungjawab mereka dan memaksa Israel untuk melaksanakan apa yang telah dipersetujui.
Rundingan gencatan senjata berakhir pada Ahad di mana tiada peningkatan yang ketara semasa rundingan tersebut berlangsung di mana Hamas tetap konsisten dengan prinsip yang telah ditetapkan oleh Biden pada 31 Mei lalu manakala Israel jelas cuba untuk memberi syarat baru yang boleh mendatangkan keuntungan kepada negara haram tersebut.
Biden pada Mei berkata bahawa Israel telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan perang di Gaza dan menjamin pembebasan tebusan yang ditahan di kawasan pinggir pantai, termasuk gencatan senjata, pertukaran tebusan dan banduan serta pembinaan semula Gaza.
Israel telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin sejak Oktober lalu dan tindakan rejim Zionis ini telah mencetuskan bencana kemanusiaan dan perbicaraan berterusan berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Selama berbulan-bulan, AS, Qatar dan Mesir menjadi pengantara untuk cuba mencapai persetujuan antara Israel dan Hamas untuk memastikan pertukaran tebusan dan gencatan senjata tetapi tidak berjaya. -AGENSI










