Suspek kes tolak isteri dalam gaung dituduh esok - Utusan Malaysia

Suspek kes tolak isteri dalam gaung dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suspek kes tolak isteri ke dalam gaung di Kilometer 31.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik pada 27 Julai lalu, akan dituduh esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lelaki berusia 39 tahun itu akan didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

“Permohonan perintah kehadiran (OTP) telah dikemukakan semalam bagi membawa tertuduh dari Penjara Sungai Petani.

“Tertuduh akan dituduh esok di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, lelaki itu telah dituduh Isnin lalu di Mahkamah Sesyen Baling, Kedah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Menerusi laporan media pada 1 Ogos lalu, seorang wanita berusia 32 tahun menempuh pengalaman menakutkan apabila nyaris maut di tangan suami sendiri selepas dicekik dan ditolak ke dalam gaung.

Kejadian berlaku ketika wanita terbabit dibawa suspek dari tempat kerjanya di Kuala Lumpur atas alasan mahu pulang ke kampung di Kelantan.

Sepanjang perjalanan, berlaku pertengkaran antara mereka di mana suspek bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau dan mencekiknya sebelum menolak wanita itu jatuh ke dalam gaung.

Mangsa yang cedera bagaimanapun telah merangkak naik ke bahu jalan dan ditemukan orang awam yang kemudian melaporkan kepada polis.

Difahamkan, lokasi kejadian terletak sebelum Hentian Royal Belum di mana gaung berkenaan dikatakan sedalam 10 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN