KUALA LUMPUR: Perkembangan dasar kerajaan dalam memperkukuh ekonomi digital negara disifatkan semakin progresif, aktif dan tersusun, sekali gus menyediakan asas kukuh kepada pertumbuhan sektor e-dagang serta perdagangan digital di Malaysia.
Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan Lazada Malaysia, Khairil Ahmad berkata, pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) berjaya memperkukuh ekosistem ekonomi digital menerusi penambahbaikan dalam aspek pembayaran digital, pembangunan infrastruktur, kepercayaan pengguna dan penyertaan perniagaan.
“Sebagai pemain utama industri e-dagang, Lazada komited menyokong usaha kerajaan melalui pelaksanaan dasar yang praktikal, konsisten dan memberi manfaat kepada pengguna, perusahaan tempatan serta keseluruhan ekosistem digital.
“Dialog dua hala antara kerajaan dan industri amat penting bagi memastikan setiap dasar baharu bukan sahaja memperkukuh perlindungan pengguna dan keyakinan pasaran, malah terus membuka ruang kepada inovasi, pelaburan dan pertumbuhan industri teknologi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam perdagangan digital serantau, Khairil berkata, inisiatif ASEAN seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menunjukkan komitmen rantau ini untuk mewujudkan ekosistem digital yang lebih bersepadu, dipercayai dan mesra perdagangan.
Katanya, perkembangan itu selari dengan keperluan semasa bagi memudahkan perdagangan digital, meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh transaksi rentas sempadan serta memastikan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan digital serantau. Lokasi strategik, kadar penerimaan digital yang semakin meningkat dan ekosistem e-dagang yang semakin matang memberikan negara kelebihan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, dengan dasar yang terus menyokong inovasi serta pelaksanaan yang praktikal, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara hab perdagangan digital utama di rantau ASEAN.
Dalam pada itu, Khairil mengakui cabaran utama industri ialah memastikan ekosistem e-dagang kekal dipercayai, berdaya saing dan mematuhi regulasi dalam landskap digital yang berkembang pantas.
Katanya, setiap perubahan dasar perlu diterjemahkan secara menyeluruh dalam operasi platform, merangkumi pengurusan penjual, penyenaraian produk, perlindungan pengguna, sistem pembayaran, logistik serta pengendalian aduan.
“Kawal selia yang baik perlu bersifat praktikal, seimbang dan berasaskan tanggungjawab bersama antara platform, penjual, penyedia logistik, penyedia pembayaran dan pengguna,” katanya.
Menyentuh usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Khairil berkata, Lazada membantu usahawan tempatan memperluaskan pasaran menerusi akses kepada jutaan pengguna di seluruh negara.
Ujarnya, pihaknya juga menyediakan latihan dan pembangunan kapasiti melalui Lazada University, Seller Center, analitik data, sokongan logistik serta pelbagai alat pemasaran digital.
“Kempen seperti Kita Beli Barangan Malaysia dan jualan mega Lazada turut meningkatkan keterlihatan jenama tempatan termasuk GINTELL, HABIB, TTRacing, Signature Market, SAMEL dan OxWhite kepada pengguna yang lebih meluas.
“Selain pasaran domestik, ekosistem Alibaba turut membuka peluang kepada PMKS tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Lazada bukan sekadar membantu PMKS memasuki platform digital, tetapi memastikan mereka lebih bersedia, dipercayai dan berdaya saing di peringkat tempatan serta global,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian usahawan tempatan telah menunjukkan keupayaan tinggi dalam memanfaatkan data, kandungan digital dan kempen pemasaran.– UTUSAN










