PETALING JAYA: Suspek kes tikam dua wanita dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya dekat sini pada 9 Ogos lalu akan didakwa, Isnin depan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya.
“Arahan tuduh telah diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada 19 Ogos depan.“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di Kajang, Selangor.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumah kenalannya di Kajang, Selangor kira-kira pukul 1.30 pagi, Selasa lalu.
Jumaat lalu, dua wanita cedera apabila ditikam lelaki tidak dikenali di surau terbabit.
Dalam kejadian 1.30 petang, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan perut manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dengan mangsa yang berusia 26 tahun menerima rawatan lanjut, manakala seorang lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar.
Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa itu tidak mengenali suspek.
Setakat ini, tujuh orang saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. – UTUSAN










