Suri rumah mengaku tak bersalah menipu untuk dapatkan emas lelong

Suri rumah mengaku tak bersalah menipu untuk dapatkan emas lelong

NUUR Thibrani Mohamed Ibrahim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu untuk mendapatkan emas lelong tahun lepas ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita lain untuk mendapatkan emas yang kononnya dilelong di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM116,256, tahun lepas.

Tertuduh, Nuur Thibrani Mohamed Ibrahim, 35, yang juga merupakan seorang suri rumah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya seorang wanita berusia 53 tahun untuk mempercayai bahawa dia berupaya mendapatkan emas yang dilelong oleh pihak polis IPK Pulau Pinang dan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM116,256 itu kepada tertuduh.

Mangsa telah memasukkan wang ke dalam empat akaun bank yang diberikan oleh tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh pada 15 Oktober 2023, pukul 11.05 pagi hingga pada tarikh 21 November 2023, kira-kira pukul 6.58 pagi bertempat di sebuah kolej di pusat bandar George Town.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dikenakan sebatan serta hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, tertuduh bagaimanapun meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia seorang suri rumah.

Mahkamah kemudian menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 12 September depan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN