KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri berputih mata apabila kerugian hampir RM100,000 setelah kedai makan mereka di Kampung Bukit Petiti dekat Manir, terbakar, semalam.
Mangsa, Mek Wook Abdullah, 63, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu dia berada di rumah sebelum menerima panggilan telefon memberitahu kedainya hangus dijilat api.
Jelasnya, dia bergegas ke kedai makan itu yang turut menempatkan kedai runcit di premis sama namun terkejut melihat asap tebal dan bunyi letupan kecil dari dalam bangunan.
Menurut Mek Wook, dia dan suami, Abdillah Ahmad, 67, sebelum ini merancang kembali berniaga, minggu depan, setelah kedai makan terbabit tidak beroperasi sejak mereka menunaikan Haji dua bulan lalu.
“Sejak mula berniaga lebih 30 tahun lalu, ini kejadian paling buruk selepas semuanya musnah dalam kebakaran dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang jualan.
“Ketika kejadian saya berada di rumah yang terletak di belakang premis dan sebaik saya meluru keluar, saya melihat asap tebal keluar dari kedai dan api pula marak terlalu cepat.
“Rancangan saya dan suami ialah untuk kembali berniaga minggu depan namun kejadian ini menyebabkan hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, 17 anggota dengan kekuatan tiga jentera dikerah ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, api berjaya dikawal sebelum merebak ke kediaman berhampiran dan punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN










