PETALING JAYA: Penjenamaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kota Damansara sebagai MRT Kota Damansara Thomson Hospital, bertujuan menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, inisiatif strategik itu menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan menzahirkan komitmen Hospital Thomson dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang mampan.
“Peristiwa yang sangat penting kerana ia menandakan kemuncak usaha kerajaan dalam merapatkan jurang antara aspek penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.
“Kedudukan stesen MRT yang bersebelahan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah untuk diakses,” katanya selepas merasmikan Penjenamaan Stesen MRT Kota Damansara kepada Thomson Hospital di Stesen MRT Kota Damansara, hari ini.
Kedudukan stesen bersebelahan hospital, dihubungkan secara langsung dengan laluan pejalan kaki berbumbung sepenuhnya. Ia memudahkan akses yang selesa untuk pesakit dan pelawat serta menggalakkan kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan pengangkutan awam.
Penjenamaan semula stesen itu juga akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk perjalanan ke hospital selaras dengan hasrat TMC Life Sciences, ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sementara itu, Pengerusi TMC Life Sciences Berhad, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, inisiatif itu usaha berterusan Syarikat untuk menambah baik pengalaman pesakit pada masa sama memberikan khidmat penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada komuniti.
“Kami berbesar hati dapat meraikan sambutan 30 tahun Kumpulan Thomson dalam menyampaikan penjagaan kesihatan yang boleh diakses, bertanggungjawab dan mampan dengan penjenamaan stesen MRT ini,” katanya. – UTUSAN









