JASIN: Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN akan diadakan bagi menentukan status sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, mesyuarat itu akan diadakan selewat-lewatnya Jumaat depan dan setakat ini Muhammad Jailani masih dianggap sebagai ahli Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak boleh dengar cakap orang, yang dakwa dia (Muhammad Jailani) jadi ahli parti (Pas) itu adalah daripada pemimpin parti itu sendiri.
“Saya fikir kena bawa (perkara ini) ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN untuk kami putuskan kedudukan saudara Jailani dan selepas itu kita akan tahulah tindakan apa yang harus dibuat oleh DUN berdasarkan kepada keputusan mesyuarat tersebut,” katanya semalam.
Menurut Ibrahim, Muhammad Jailani Khamis masih dianggap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selepas beliau gagal menyerahkan surat balasan rasmi dalam tempoh dua minggu yang ditetapkan berhubung tindakannya menyertai Pas.
Katanya, beliau mengesahkan Muhammad Jailani telah menerima surat berkenaan sewaktu ADUN Rembia itu bertemu dengannya di Seri Negeri pada 18 Julai lalu.
Menurutnya, setelah tamat tempoh dua minggu yang ditetapkan beliau masih belum menerima surat jawapan daripada ADUN Rembia itu.
“Jadi bila surat penjelasan tidak diterima tanggapannya beliau masih ADUN BN walau apapun orang luar katakan, tetapi selagi saya tidak dapat surat saya tidak boleh buat keputusan berdasarkan cakap-cakap yang Muhammad Jailani sertai Pas.
“Setakat ini kita boleh anggap beliau masih ADUN BN malah boleh dikenakan tindakan kerana surat itu adalah arahan Speaker yang minta dijawab dalam tempoh 14 hari dan bukan surat sewenang-wenangnya,” katanya. – UTUSAN










