SPRM ambil keterangan 7 individu babit perjanjian projek perumahan RM110 juta di Kuantan - Utusan Malaysia

SPRM ambil keterangan 7 individu babit perjanjian projek perumahan RM110 juta di Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta di Kuantan, Pahang.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, SPRM kini dalam penelitian perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan yang dibuat kepada sebuah syarikat.

Kata sumber itu, siasatan lanjut masih dilakukan terhadap empat individu termasuk seorang bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bergelar Datuk, yang direman bagi mengetahui jumlah sebenar rasuah diterima mereka.

“Setakat ini, reman mereka yang ditahan akan tamat esok,” katanya di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang peguam kepada syarikat pemaju ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes itu, menjadikan empat individu ditahan termasuk seorang bergelar Datuk sebelum ini.

Menurut laporan itu, kes yang disiasat SPRM berkaitan satu perjanjian SDA membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan yang dibuat kepada sebuah syarikat.

Syarikat dimiliki seorang individu bergelar Datuk Seri itu dipercayai menggunakan SDA yang  asalnya untuk membuat pinjaman, tetapi disalah gunakan syarikat itu untuk membuat tuntutan melalui kes sivil. 

Penahanan kesemua suspek termasuk Datuk dilakukan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 6.30 hingga 7 petang pada 31 Julai lalu.

Namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan. Ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai telah menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan.

Balasan itu kerana bersekongkol bagi menandatangani SDA membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.

Perjanjian dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit. Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN