SUNGAI PETANI: Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini sudah mengaktifkan pelan kesinambungan operasi (BCP) secara berperingkat sebagai langkah sementara bagi mengurangkan impak gangguan dialami Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh (THIS).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr. Ismuni Bohari berkata, gangguan capaian semakin kritikal apabila waktu operasi klinik pakar bermula kerana trafik capaian yang amat tinggi daripada pengguna sistem yang mula melaksanakan pendaftaran pesakit.
Menurutnya, pemantauan prestasi capaian sistem dan tindakan pemulihan kini diteruskan secara teliti bagi memastikan isu itu dapat diatasi secara menyeluruh.
“Untuk perancangan jangka panjang, Kementerian Kesihatan dan JKN Kedah dalam perancangan untuk menaik taraf sistem server sedia ada ke Cloud Based System untuk mengelak kejadiaan sama berulang.
“Kita juga akan terus memantau perkembangan terkini dan memastikan tindakan pembaikan dan pemulihan THIS berjalan lancar agar pengoperasian perkhidmatan perawatan pesakit tidak terjejas,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, gangguan capaian itu bermula seawal pukul 7 pagi, Ahad lalu dan semakan awal mendapati servis pada salah satu server aplikasi gagal berfungsi.
Terdahulu dilaporkan hospital dan klinik kesihatan di daerah ini mengalami kegagalan sistem rekod perubatan sehingga menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan termasuk pengendalian pesakit dan dispensasi ubat.
Seorang doktor dari HSAH mendakwa, sistem THIS terputus sejak pukul 5 pagi kelmarin akibat kegagalan teknikal dalam program itu yang memaksa hospital itu kembali kepada operasi manual.
Keadaan itu menyebabkan proses untuk rawatan pesakit dan rekod perubatan di hospital menjadi perlahan selain kegagalan sistem itu turut menjejaskan Klinik Kesihatan Sungai Petani yang terletak di bangunan hospital lama, serta institut latihan jururawat. – UTUSAN










