Siapa dajal sebenarnya? - Mohd. Khairuddin

Siapa dajal sebenarnya? – Mohd. Khairuddin

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa tidak memahami maksud sebenar konsep politik Islam hingga keliru dan menggelarkan parti lawan sebagai ‘dajal’.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, politik Islam mewajibkan kerajaan yang memerintah melakukan pembangunan fizikal untuk rakyat.

Kata beliau, kejayaan dalam menguruskan pembangunan negara perlu menjadi cagaran bagi rakyat untuk menilai kejayaan sebuah kerajaan dalam persaingan pentas demokrasi moden.

“Sekiranya mempromosi kejayaan pembangunan fizikal kepada rakyat dianggap sebagai ‘kebendaan’ yang dipromosi oleh ‘daal’, maka saya berpandangan Presiden Pas mempunyai kefahaman yang mengelirukan dalam memahami ‘politik dan pemerintahan Islam’ meskipun beliau berkelulusan Sarjana Siyasah Syar’iyyah.

“Apakah kegagalan pengurusan air untuk rakyat di Kelantan dan kelesuan pembangunan fizikal rakyat Terengganu sejak Pas mengambil alih Terengganu pada 2018 berpunca daripada kefahaman yang keliru ini terhadap konsep pembangunan dalam politik Islam?

“Moga kita dijauhkan daripada sifat ‘dajal’ yang kerjanya menimbulkan pelbagai kefahaman yang mengelirukan tentang Islam,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi melalui tulisannya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Politik, Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan UMNO-Pakatan Harapan (PH)’ mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyaksikan betapa politik dajal menjadi senjata lama yang merosakkan UMNO terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah.

Dr. Mohd. Khairuddin yang juga merupakan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, Abdul Hadi lupa sehingga melabelkan Kerajaan Perpaduan sebagai lebih dajal dan menuduh membeli sokongan rakyat.

“Presiden Pas terlupa bahawa kemenangan ahli Parlimen Pas di Kemaman dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September 2023 kerana menurut hakim terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada calon Pas.

“Begitu juga kemenangan ahli Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan oleh Mahkamah Pilihanraya pada 27 jun 2023 dengan alasan yang sama iaitu kerana wujudnya unsur rasuah dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Ini bukan tuduhan tetapi perakuan oleh Mahkamah Pilihanraya. Justeru, siapakah Dajjal sebenarnya?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN