KUALA LUMPUR: Sistem pengesanan antidron dan pemintas teknologi tempatan giat dibangunkan dan diperluas ke seluruh institusi penjara di negara ini bagi memastikan tiada lagi cubaan menyeludup dadah menggunakan dron.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Kata kenyataan itu, jabatan itu turut mengenal pasti penjara-penjara berisiko termasuk Penjara Tapah yang dilaporkan berlaku cubaan menyeludup dadah menggunakan dron petang kelmarin.
“Jabatan ini sentiasa bersiap siaga dan institusi-institusi penjara berisiko termasuk Penjara Tapah telah dilengkapi dengan Sistem Anti Dron dan peralatan pemintas bagi mencegah perkara ini.
“Jabatan Penjara bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti penubuhan petugas khas bagi mengekang ancaman pencerobohan ini dari masa ke semasa,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, polis mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin daripada seorang kakitangan penjara.
Kakitangan penjara membuat laporan polis selepas dia menemukan sebuah dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok penjara.
Dron berkenaan ditemukan semasa kakitangan bersama anggota lain membuat rondaan pukul 11.30 pagi. Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket berisi serbuk putih disyaki heroin. – UTUSAN










