TEHERAN: Seorang pegawai kanan Hamas menolak dakwaan Israel yang mendakwa Sekolah Al-Tabin menjadi pusat operasi kumpulan pejuang berkenaan susulan kematian lebih 100 nyawa semalam selepas kemudahan yang menempatkan pelarian itu dibom rejim Zionis.
Anggota Biro Politik Hamas, Ezzat al-Resheq berkata, pembunuhan yang dilakukan semalam itu adalah sebahagian daripada genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Ezzat menolak dakwaan Israel dengan menyatakan pihaknya tidak akan sesekali beroperasi di lokasi menempatkan penduduk awam bagi mengelakkan mereka daripada menjadi sasaran.
Katanya, rejim Zionis sering menggunakan dakwaan itu sebagai alasan untuk menyerang bangunan awam di Gaza termasuk hospital dan sekolah.
Timbalan ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya pula berkata, serangan Israel terhadap sekolah berkenaan dengan jelas memaparkan usaha Tel Aviv melakukan pembersihan etnik di Gaza.
Dalam kenyataannya kepada Al Jazeera, Khalil menggesa satu mesyuarat kecemasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membincangkan pembunuhan terbaharu oleh Israel itu.
Beliau juga menyeru negara-negara Islam dan Arab untuk bertindak terhadap rejim Israel, termasuk menutup kedutaan mereka di Tel Aviv.
Dalam kejadian semalam, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh sementara puluhan lagi cedera dalam serangan Israel ketika kumpulan pelarian berkenaan sedang solat Subuh di sekolah berkenaan.
Pejabat media Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak tiga roket mengenai kawasan sekolah yang bersambung dengan sebuah masjid di Daraj Tuffah. – AGENSI











