"Seboleh-bolehnya memang kami nak abah balik' 

“Seboleh-bolehnya memang kami nak abah balik’ 

SITI AMIERA Yusuf (kiri) bersama ahli keluarganya ketika membuat pengecaman barang milik mangsa bot karam yang ditemukan penyelam di Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: “Kami reda dengan apa yang berlaku. Kalau ada rezeki untuk kami kembali bertemu abah, insya-Allah. Jika sebaliknya, kami terima dan ini yang terbaik untuk abah kami.”

Itu luahan Siti Amiera Yusuf, yang merupakan anak kepada salah seorang mangsa, Yusuf Kassam, 66, yang masih hilang dalam tragedi bot karam selepas dilanggar tongkang di perairan Kemaman, Ahad lalu.  

Siti Amiera berkata, mereka sekeluarga termasuk ibunya, Rosidah Ngah, 64, menerima dengan hati terbuka apabila pasukan penyelamat menghentikan operasi mencari dan menyelamat bapanya selepas tiada sebarang petunjuk positif mengenai kehilangan bangkai bot dan kedua-dua mangsa, petang semalam. 

Sementara itu, katanya, seorang lagi mangsa yang belum ditemukan ialah Aina Husna Mohamad Husaini, 25. 

“Semalam, mak turut datang ke Kemaman. Kami percaya pasukan penyelamat telah berusaha sebaik mungkin menerusi pencarian di laut dan darat untuk membawa abah balik, namun belum ada rezeki kami. 

“Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak dan tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana mereka telah berusaha sedaya upaya,” katanya. 

Siti Amiera berkata, bagaimanapun, mereka juga masih mengharapkan bapanya yang merupakan pesara polis ditemukan segera.

“Seboleh-bolehnya memang kami nak abah balik, namun jika Allah dah takdirkan sebaliknya (tidak ditemui), kami berlapang dada.

“Kami difahamkan nelayan-nelayan di kawasan perairan Terengganu dan Pahang telah dimaklumkan mengenai kehilangan bapa kami dan seorang lagi mangsa, kami berharap semoga ada perkhabaran baik daripada mereka,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi pada Ahad lalu, bot dinaiki tujuh pemancing dan dua tekong karam dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman. 

Tragedi itu mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50. 

Lima mangsa yang selamat ialah Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN