`Saya tidur atas simen ketika disoal siasat SPRM selama 11 hari'

‘Saya tidur atas simen ketika disoal siasat SPRM selama 11 hari’

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan menceritakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini pengalamannya ketika disoal siasat selama 11 hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, sepanjang siasatan, beliau tidur di atas simen dalam keadaan sakit meskipun telah menyertakan surat kepada pasukan siasatan bagi memaklumkan dia menghidap slip disc.

Ujar saksi pendakwaan ke-23 itu, seramai 30 hingga 40 pegawai SPRM datang menemuinya ketika tempoh siasatan selama 11 hari. Beliau direman pada Januari 2018.

“Saya baru keluar selepas ditahan reman selama 11 hari, isteri saya kemudian mengadakan kenduri. Ketika itu saya dipanggil lagi oleh SPRM dan disiasat selama 14 jam.

“Isteri saya hubungi dan bertanyakan bila saya akan pulang kerana keluarga sedang menunggu. Bagaimanapun manusia nak tahan macam ini?

“Mereka suruh saya asing-asingkan keterangan bagi kedua-dua kes (Gnanaraja di Shah Alam dan Guan Eng di Kuala Lumpur). Saya jadi beremosi, itu tidak termasuk saya digari depan orang ramai macam saya ini pembunuh.

“Bila saya hendak menjelaskan keseluruhan senario yang berlaku, mereka tidak mahu dengar dan suruh saya fokus pada kes Gnanaraja sahaja,” ujar beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding mencabar kebolehpercayaan beliau sebagai saksi.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang juga saksi utama pendakwaan diminta menjelaskan mengapa kenyataannya yang diberikannya ketika siasatan kes Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng.

G. Gnanaraja yang juga ahli perniagaan juga disiasat membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin, saksi berkata, wang RM19 juta diberikan kepada Gnanaraja manakala sebanyak wang RM3.3 juta diserahkan kepada Guan Eng hasil penjualan lot tanah di Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika disoal oleh TPR Farah Yasmin Salleh, ahli perniagaan itu berkata, wang RM3.3 juta itu daripada RM79 juta hasil penjualan tanah.

Terdahulu, Zarul Ahmad menafikan beliau cuba menyembunyikan identiti pengawal peribadinya yang dikatakan memainkan peranan penting dalam kronologi kisah pemberian wang RM2 juta kepada
Guan Eng.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh bahawa dia sengaja ‘menggelapkan’ nama pengawal peribadinya dikenali sebagai ‘Din’ yang didakwa membawa dua beg masing-masing berisi RM1 juta yang kemudian diletakkan ke dalam bonet kereta pada Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN