RUNDINGAN gencatan api Israel dan Hamas dijangka berhadapan tiga situasi iaitu sama ada berjaya, gagal atau ditangguhkan sekiranya kedua-dua pihak masih tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar.
Minggu lalu, tiga pemimpin negara AS, Mesir dan Qatar menggesa Israel dan kumpulan pergerakan Islam itu untuk bertemu dalam satu rundingan yang dicadangan pada Khamis ini bagi memuktamadkan gencatan senjata Gaza serta perjanjian pembebasan tebusan.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu yang berusaha menjadi pengantara perjanjian berkata, rundingan itu boleh diadakan di Doha atau Kaherah dalam masa terdekat sebelum keadaan bertambah tegang.
Gesaan diplomatik terbaharu dilihat sebagai cubaan untuk menghentikan ketegangan yang tidak terkawal selepas pemimpin Hamas yang dibunuh awal bulan ini.
Buat masa ini, hanya Israel bersetuju untuk menghantar perunding bagi meneruskan perbincangan gencatan senjata dan pembebasan tebus setelah menerima desakan AS, Mesir dan Qatar, seperti dilaporkan BBC.
Pejabat Perdana Menteri Israel kelmarin berkata, Israel akan menghantar pasukan perunding pada 15 Ogos ini ke tempat yang dipersetujui bagi memuktamadkan butiran pelaksanaan perjanjian terbabit.
Menurut seorang pegawai yang enggan dikenali, Israel menerima baik idea rundingan itu dan menolak tuduhan bahawa Benjamin Netanyahu sedang menangguhkan perjanjian terbabit, seperti dilaporkan Reuters.
Pengumuman rundingan itu dibuat selepas Hamas menamakan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu, selepas pembunuhan Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Teheran, Iran awal bulan ini.
Bagaimanapun Hamas masih belum memberikan maklum balas susulan gesaan tiga negara pengantara, walaupun sayap pergerakan Islam itu sebelum ini dikatakan bersetuju dengan pelan perjanjian dikemukakan oleh pihak terlibat.
Tambahan pula Yahya baharu sahaja dilantik sebagai Ketua Biro Politik Hamas bagi menggantikan Ismail yang mati dalam satu serangan di Teheran, sekali gus tidak menolak pasukan baharu itu memerlukan sedikit masa sama ada bersetuju atau menolak rundingan itu.
Namun seperti memetik laporan agensi berita Turkiye, Anadolu, jurucakap Hamas, Osama Hamdan kelmarin memaklumkan, rundingan gencatan api dan pembebasan tebusan akan diteruskan di bawah kepimpinan Yahya.
Ia sekali gus menguatkan bahawa Israel dan Hamas hampir pasti ke arah memuktamadkan gencatan api.
“Proses rundingan akan diteruskan dan masalah yang berlaku bukanlah dalam gerakan Hamas, tetapi di Israel dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan AS yang tidak ikhlas untuk mendesak gencatan senjata,” tambahnya.
Tambahan pula, dalam soal ini, AS dilihat menjadi pihak paling lantang mahu gencatan senjata api berjaya, khususnya apabila calon Demokrat Presiden AS, Kamala Harris dalam kempen pilihan rayanya memberitahu ‘kini masa untuk gencatan senjata api’, seperti memetik laporan Al-Jazeera.
Beliau menyatakan sedemikian di hadapan kumpulan pro Palestin di Arizona yang berkumpul sambil melaungkan ‘bebas, bebas Palestin’ sekali gus tindakan ini dibuat bagi meraih sokongan pengundi Islam menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada November ini.
Menurut wakil Al-Jazeera di Washington, Phil Lavelle, walaupun Harris dan Presiden AS, Joe Biden menyokong gencatan api, namun pentadbiran mereka menghantar bantuan senjata kepada Israel untuk melakukan serangan ke atas.
“Beliau merupakan Naib Presiden dan menyokong pentadbiran Biden. Tetapi pasukannya menegaskan gencatan, ini adalah seolah-olah dua perkara berbeza dalam satu dunia sama,” soalnya.
Perkembangan terbaharu serangan berdarah di Gaza sehingga 100 nyawa terkorban dalam satu serangan sekali gus menguatkan bahawa gencatan api antara Israel dan Hamas perlu direalisasikan dengan segera.
Malah pejuang keamanan dan hak asasi menegaskan, bukan sahaja gencatan api malah AS sendiri perlu menghentikan pembekalan senjata kepada Israel yang dilihat menjadi punca utama konflik di wilayah bergolak tersebut.
Ini susulan pendedahan wartawan CNN, Allegra Goodwin bahawa bom digunakan dalam serangan di Sekolah al-Tabin adalah keluaran AS.











