KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengakui rundingan secara tidak rasmi memang berlaku namun, Warisan belum buat keputusan rakan kerjasama antarae partinya dengan parti lain menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, setakat ini Warisan belum memutuskan parti mana yang akan menjadi rakan kerjasama mereka untuk menghadapi PRN Sabah ke-17.
“Warisan tidak ada kerjasama dengan mana-mana pihak, kita tidak ada umum. Kadang-kadang minum di kedai kopi, cerita-cerita ada, runding sana sini boleh cerita..bukan tidak ada tapi, Warisan belum buat keputusan mana parti yang kita harus kerjasama.
“Cuma saya nyatakan kerjasama Warisan dengan rakyat Sabah. Kalau kerjasama dengan parti, Presiden parti mahu bertanding, dia mahu kerusi yang dia boleh menang.
“Selepas menang, kita tolong dia, dia mahu jadi menteri, tidak dapat jadi menteri dia lompat. Itu bukan kerjasama demi rakyat Sabah, itu kerjasama nafsu,” katanya semasa Jelajah Presiden Warisan Sepanggar baru-baru ini.
Justeru katanya, rakyat Sabah harus sedar dan insaf dengan kerajaan yang memerintah Sabah hari ini. Jangan undi mereka, ubah jika mahu selamatkan Sabah untuk generasi akan datang.
Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau sudah puas bekerjasama dengan semua pemimpin sama ada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Warisan menyokong kerajaan Persekutuan namun, apabila beliau mengusulkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen, mereka tidak undi kerana Semenanjung mempunyai 166 kerusi Parlimen.Di Sabah hanya mempunyai 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi Parlimen.
“Saya bawa akta MA63, mereka tidak undi pasal Parlimen diorang dan apabila mereka datang Sabah, kita undi. Mereka datang Sabah boleh dapat kerusi, kita datang sana mereka tolak kita.
“Bukan saya mahu bertanding di Kuala Lumpur cuma, saya mahu lihat bagaimana sambutan mereka untuk kita bertanding di Semenanjung. Parti Semenanjung datang Sabah, kita bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, bagus orang Sabah.
“Apabila kita tanding di sana, kita dikatakan mengacau dan jangan datang ke Semenanjung. Mereka boleh tanding tempat kita, kita tidak boleh tanding tempat mereka,” katanya.
Selepas Langkah Kinabalu, khabar angin Warisan dan UMNO mahu bekerjasama pada PRN Sabah hangat diperkatakan namun, belum ada keputusan rasmi dibuat oleh kedua-dua parti berkenaan.
Kehadiran pemimpin UMNO pada Persidangan Agung Tahunan Warisan pada tahun lalu dan pemimpin Warisan dilihat kerap hadir pada majlis-majlis anjuran UMNO seperti mengiyakan khabar angin berkenaan tapi, sehingga kini kedua-dua parti mengambil langkah untuk mengumumkan rakan kerjasama selepas pembubaran DUN Sabah dilakukan.-UTUSAN










