RM2.6 bilion hasil durian tingkat pendapatan petani di Pahang

RM2.6 bilion hasil durian tingkat pendapatan petani di Pahang

MUHD. RIZAL Baharom (kiri) bersama Pegawai Pertanian Daerah Lipis, Juliana Din menunjukkan durian kampung premium sempena Hari Durian Daerah Lipis, Lipis, hari ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pengeluaran pelbagai varieti durian sebanyak 131,308.55 metrik tan di Pahang dengan nilai kira-kira RM2.6 bilion tahun lepas berjaya meningkatkan pendapatan pekebun durian di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Muhd. Rizal Baharom berkata, penghasilan durian itu sejajar dengan keluasan tanaman 16,718.93 hektar meliputi semua daerah menjadikan negeri ini pengeluar utama durian negara.

Bagaimanapun ujar beliau, pengeluaran durian Pahang tahun ini merosot kira-kira 50 peratus berikutan perubahan cuaca panas yang menjejaskan perkembangan bunga durian selain kualiti raja buah itu.

“Bagi menyokong pengeluaran durian Pahang terus berkembang khususnya durian kampung premium, Jabatan Pertanian Pahang menggalakkan pekebun di setiap daerah memperbanyakkan tanaman varieti durian yang berkualiti.

“Pertandingan memilih juara durian kampung premium di 10 daerah pada setiap tahun adalah langkah proaktif jabatan untuk mengkomersialkan durian kampung premium setanding Musang King (D197) atau Black Thorn (D200),” katanya.

Muhd. Rizal berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Durian Daerah Lipis dan Pertandingan Durian Kampung Premium di pekarangan Pejabat Pertanian Daerah Lipis, di sini  hari ini.

Menurutnya, Jabatan Pertanian Pahang mensasarkan 10 durian premium Pahang didaftarkan di bawah Jabatan Negeri tahun ini berbanding hanya Durian Hijau Beserah setakat ini.

Tambah beliau, varieti durian kampung premium yang layak didaftarkan perlu memenuhi kriteria ketat seperti pokok induk mesti melebihi lima pokok.

“Saya akui banyak durian premium Pahang sedap setanding Musang King atau Black Thonk layak didaftarkan dibawah Jabatan Pertanian Pahang,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Pertanian Pahang sedang giat turun padang ke setiap daerah mengadakan pertandingan mencari juara durian premium untuk didaftarkan.

Menurut beliau, petani sekarang lebih berminat menanam durian klon seperti Musang King dan Black Thorn kerana potensi pasaran akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN