Ribuan bakal hilang kerja susulan pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen

Ribuan bakal hilang kerja susulan pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen

ABDUL RASHID Mohamed Sharif (tengah) bergambar selepas sidang akhbar isu pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ribuan tenaga profesional dalam bidang geomatik di seluruh negara dijangka kehilangan pekerjaan mereka susulan pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958.

Perkara itu didedahkan jurucakap 12 badan profesional terbabit, Prof. Dr. Abdul Rashid Mohamed Sharif yang bimbang kesan negatif jika undang-undang tersebut diwartakan.

“Pindaan diluluskan Parlimen itu sebenarnya menyekat profesional bukan juruukur tanah berlesen untuk membuat kerja geomatik dan ini tidak adil,” katanya pada sidang akhbar di sinim hari ini.

Rang akta berkenaan yang juga dirujuk sebagai Akta 458 diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Mac lalu sebelum kemudian diluluskan Dewan Negara pada 4 April lepas.

Ia telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan cuma menunggu pewartaan rasmi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pada bila-bila masa.

Jika digazetkan kerajaan, profesional dalam pelbagai jurusan geomatik di negara ini boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Rashid yang juga Presiden Institusi Geospatial dan Remote Sensing Malaysia berkata, pindaan Akta 458 itu langsung tiada libat urus dengan mereka.

“Kami hanya tahu selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan walhal kesemua pemegang taruh bidang ini tidak dirujuk pun untuk maklum balas kementerian,” katanya.

Justeru, mereka menzahirkan kerisauan dengan penguatkuasaan pindaan akta tersebut yang mengehadkan skop geomatik dan dimonopoli secara eksklusif oleh juruukur tanah.

Ketika ini ujarnya, hanya ada kira-kira 480 juruukur tanah berlesen dengan pihak Lembaga Juruukur Tanah sedangkan kumpulan itu tidak merangkumi semua jenis bidang geomatik.

Bahkan Abdul Rashid khuatir, pewartaan pindaan itu akan memaksa profesional geomatik ‘mengalibabakan’ kerja kepada juruukur tanah berdaftar dengan dikenakan caj lebih mahal.

Langkah itu dibimbangi boleh melonjakkan kos operasi kerja-kerja berkaitan geomatik dan paling ditakuti tiada ‘persaingan harga’ secara sihat kerana dikawal habis pihak juruukur.

“Sekiranya berlaku, ramai profesional geomatik akan berhijrah ke luar negara dan ini bakal merugikan Malaysia yang hilang bakat terbaik dari segi tahap daya saing global,” jelasnya.

Beliau malah difahamkan bahawa hanya Malaysia yang melaksanakan undang-undang ‘aneh’ sedemikian padahal Barat sendiri memberikan kebebasan kepada skop kerja geomatik.

Alasan diberi kementerian itu kononnya akta tersebut sudah diwujudkan lebih 66 tahun dan tidak relevan situasi semasa juga agak pelik dengan definisi baharu juruukur terlalu luas.

Justeru, mereka merayu Nik Nazmi supaya mempertimbangkan semula pindaan Akta 458 itu demi memastikan keadilan bagi setiap pihak berkepentingan dengan lebih menyeluruh. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN