SUHU politik di Melaka tidaklah terlalu panas selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengumumkan penyertaannya bersama Pas pada 16 Julai lalu dalam sidang akhbar di Parlimen.
Sama seperti cuaca persekitaran semasa, Melaka masih menerima hujan tatkala negeri lain seperti Perlis, Kedah dan Perak dilanda musim panas serta kemarau sehingga mengakibatkan penyusutan takungan air empangan.
Bercakap mengenai pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, belum ada mana-mana pihak sama ada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) dilihat terkedepan melaungkan perkara itu.
Berkemungkinan, fokus kedua-dua gabungan lebih terarah kepada PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Seandainya berlaku PRK DUN Rembia, angka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 menunjukkan tuah bakal menyebelahi BN, meskipun kemenangan atau kekalahan di kerusi itu tidak mendatangkan sebarang implikasi kepada majoriti di DUN Melaka.
Kerajaan negeri gabungan BN bersama Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kekal menguasai 25 daripada 28 kerusi, meskipun tanpa DUN Rembia.
Pada PRN lalu, BN menang dengan majoriti 860 undi di kerusi berkenaan yang menyaksikan Muhammad Jailani memperoleh 4,224 undi menewaskan PH (3,364 undi) dan PN (2,433 undi).
Atas kertas, jika digabungkan jumlah undi BN dan PH, apa juga parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan pastinya tidak berdepan masalah untuk menang di Rembia. Secara tidak langsung ia boleh dijadikan cerminan terhadap keputusan PRN Melaka akan datang.
Seperti diungkapkan Pengerusi PN Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, PRK itu seharusnya menjadi medan terbaik menguji tahap penerimaan rakyat terhadap BN memandangkan tempoh penggal DUN Melaka bakal genap tiga tahun, November ini.
Namun, formula sedemikian tidak boleh dijadikan sandaran mutlak tanpa mengambil kira sentimen semasa, sebagaimana nasib yang menimpa BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu tewas di kesemua enam kerusi Parlimen, walaupun memenangi 21 kerusi DUN tahun sebelumnya.
Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat oleh Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum sama ada kerusi disandang Muhammad Jailani dikosongkan atau dipindahkan ke blok pembangkang.
Muhammad Jailani juga disahkan belum membalas surat jawapan berhubung pengumumannya menyertai Pas sebelum ini.
Apa yang pasti, status kerusi berkenaan tetap akan diputuskan walaupun Muhammad Jailani memilih untuk berdiam diri, selepas surat rasmi yang menuntut jawapan dalam tempoh 14 hari dihantar kepadanya pada 19 Julai lalu. – UTUSAN








