MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan calon reformis 1998 untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Datuk Halim Bachik berkata, PKR juga membawa misi besar demi memastikan kerusi itu tidak kembali bergelar deposit selamat Barisan Nasional (BN).
Katanya, calon untuk bertanding di Rembia sudah dikenal pasti, iaitu seorang reformis 1998 yang mempunyai jiwa reformasi, bagi mengelak episod Langkah Sheraton berulang.
“Rembia kekal ditandingi PKR, kita menaruh kepercayaan tinggi untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada penyandangnya yang kini bersama UMNO.
“Calon sudah dikenal pasti, seorang yang telah terlibat dengan gerakan reformasi sejak 1998. Penting untuk kita mencalonkan individu yang memahami erti perjuangan parti, kita tidak mahu lagi episod pengkhianatan berulang,” katanya ketika dihubungi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Rembia yang merupakan kerusi tradisi UMNO berjaya dirampas PH melalui Datuk Muhammad Jailani Khamis dengan majoriti 1,814 undian.
Kemenangan itu ternyata menyentap perasaan kepemimpinan UMNO Melaka, selepas calon BN, Norpipah Abdol tewas, sekadar memperoleh 4,959 undian.
Namun, kejayaan itu tidak bertahan lama, apabila pada Mac 2020, Muhammad Jailani bersama empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ketika itu, menyatakan sokongan kepada pembangkang untuk menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka.
Dalam pada itu, sumber dalaman UMNO memaklumkan, parti itu akan mengekalkan Muhammad Jailani sebagai calon di kerusi tersebut memandangkan beliau kini menjawat jawatan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah.
Bagaimanapun, cubaan akhbar ini untuk mendapatkan reaksi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu gagal, kerana tidak menjawab panggilan ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE










