SUNGAI SIPUT: Seorang remaja lelaki yang ditahan kerana disyaki membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa telah melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah dalam daerah Sungai Siput (U) antara pukul 2 hingga 5 petang, 16 Ogos 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun, bagi pesalah kanak-kanak, ditahan penjara selama mana diperkenan di bawah Seksyen 97(2) Akta kanak-kanak 2001.
Remaja itu yang memakai baju-T berwarna biru dan seluar trek hitam mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R.S. Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Vitthiyeswary memohon tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia, patalogi dan asid deoksiribonukleik (DNA) serta laporan prestasi pelajar.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Media pada 18 Ogos lalu melaporkan Nuraina Humaira yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa menemukan kesan koyakan pada kemaluan kanak-kanak itu serta terdapat kecederaan akibat tekanan pada leher.
Susulan itu, tangkapan dijalankan ke atas seorang remaja lelaki yang juga dipercayai saudara terdekat keluarga mangsa. – UTUSAN










