PETALING JAYA: Siasatan polis mendapati remaja perempuan, Lin Yu Cheng yang dilaporkan hilang dari kediamannya di kondominium Dataran Prima selepas berlaku perselisihan faham dengan bapanya.
Remaja berkenaan bagaimanapun dikesan keluarganya berada di sebuah kelab malam selepas dia memuat naik satu perkongsian di aplikasi Instagram, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, akibat perselisihan faham itu, remaja berkenaan telah keluar rumah namun masih dapat dihubungi oleh adiknya melalui WhatsApp pada 28 Mei lalu.
Kata beliau, bapa remaja itu cuba menghubungi anaknya pada 26 Jun lalu namun dia tidak menjawab panggilan telefon ayahnya.
“Talian itu tidak lagi aktif dipercayai remaja perempuan itu telah mematikan perkhidmatan talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan kehilangan remaja itu selama 73 hari, satu laporan dibuat bapanya.
“Laporan itu dibuat oleh Ayahnya selepas melihat hantaran yang dimuat naik anaknya di laman sosial Instagram memaparkan dia sudah bertatu,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari kediamannya di kondominium Dataran Prima, di sini, sejak 25 Mei lalu.
Remaja berusia 14 tahun itu berketinggan berketinggian 155 sentimeter, dan memiliki berat kira-kira 42 kilogram, berkulit warna kuning susu, berambut hitam serta berbibir nipis.-UTUSAN










