PETALING JAYA: Polis meneruskan operasi mengesan seorang remaja perempuan, Afiqah Abdul Aziz,15, yang dilaporkan hilang empat hari lalu dari kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Malaysia Desa Petaling, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan remaja tersebut pada Jumaat lalu.
“Kami telah menerima laporan Orang Hilang (OH) iaitu mangsa seorang remaja perempuan pada pukul 11 malam daripada keluarga mangsa.
“Namun, sehingga kini pihak kami belum ada sebarang maklumat berkait kehilangan mangsa yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, polis sedang giat menjalankan usaha mengesan jejak mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, kakak mangsa, Aida berkata, Afiqah merupakan adik bongsu daripada enam beradik, telah keluar rumah pada pukul 6 petang pada hari kejadiaan.
“Kami jumpa skaf dan anak tudungnya di hadapan lif, namun adik kami tiada di situ. Sebelum itu saya ada terdengar jeritan meminta tolong dalam keadaan menangis, dua kali dan saya pasti itu dia,” katanya. – UTUSAN










