PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mempersembah laporan lengkap Kajian Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini.
Sultan Ibrahim berkongsi perkara itu menerusi akaun Facebook rasmi Seri Paduka yang dipersembah oleh Pengerusi RCI, Tun Md. Raus Sharif serta semua ahlinya di Istana Negara.
“Yang di-Pertuan Agong terima laporan lengkap RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan,” kata kenyataan itu.
RCI itu buat pertama kali mempersembah laporannya kepada Sultan Ibrahim pada 18 Jun lalu dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.
Pada Februari lalu, Sultan Ibrahim berkenan melantik Md. Raus sebagai Pengerusi RCI berserta enam individu bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Pada 16 Februari lalu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menggesa Md. Raus menarik diri dari kedudukan itu dan kerajaan harus menggantikan Pengerusi RCI dengan seseorang tidak berkonflik kepentingan.
Katanya, RCI bagi kes Batu Puteh berkaitan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018 untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusannya pada 23 Mei 2008 yang mana Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri ketika keputusan itu dibuat.
Muhammad Rafique memberi alasan terdapat isu antara Dr. Mahathir dan Md. Raus yang mana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keabsahan pelantikan Md. Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, pada 27 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemilihan Pesuruhjaya RCI bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah muktamad.
Katanya, pemilihan Pesuruhjaya RCI selaras di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (119) yang merupakan penjalanan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr. Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesai dengan penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.
Pada Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura melibatkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.
Md. Idrus pada Januari 2023 memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua permohonan semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan permintaan tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.
Katanya, keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023 susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentang di Mesyuarat Jemaah Menteri. – UTUSAN










