SEPANG: Ada pesakit kanser di negara ini percaya jika tubuh mereka ditusuk benda tajam sama ada menerusi jarum suntikan atau pisau, ia boleh menyebabkan penyakit tersebut bertambah buruk.
Fahaman itu menyebabkan ramai pesakit kanser terutama dalam kalangan orang Melayu memilih untuk beralih kepada rawatan perubatan alternatif dipelopori bomoh atau dukun berbanding rawatan di hospital.
Mengulas fahaman pelik itu, pakar kanser, Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi berkata, kepercayaan dan fahaman sedemikian tidak menjamin apa-apa dari sudut perubatan, malah ia adalah mitos semata-mata.
Ketua Jabatan Pembedahan dan Perunding Kanan Endokrin dan Pakar Kanser Payudara di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu berkata, beliau akui ramai pesakit kanser yang mengguna pakai rawatan alternatif tersebut.
Beliau berkata, ramuan akar kayu yang digunakan bomoh dan dukun juga tidak dapat dibuktikan dari sudut kesembuhan, malah memberi kesan lain kepada kanser dihidapi.
“Saya dapati ada ubat-ubatan dibekalkan kepada pesakit oleh bomoh dan dukun agak bercanggah dan berlawan dengan ubat-ubatan moden. Saya tidak menggalakkan mereka beramal dengan meminum air akar-akar kayu.
“Rawatan alternatif menggunakan ramuan akar kayu boleh menyebabkan darah cair, malah boleh mengundang komplikasi kesihatan lain sekiranya pesakit masih dalam kitaran kimoterapi,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelepasan 30 pejuang kanser payudara ke Tanah Suci bagi ibadah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin..
Katanya, ada dalam kalangan pesakitnya segera mencari perubatan alternatif selepas didiagnos kanser, namun selepas enam bulan ke setahun, mereka kembali kepadanya dengan tahap kanser lebih teruk.
Dr. Imi Sairi berkata, di Kelantan, sekitar 54 peratus pesakit kanser datang mendapatkan rawatan pada Tahap 3 dan 4 kerana mereka telah berjumpa bomoh terlebih dahulu.
Beliau sehubungan itu menasihatkan pesakit kanser supaya menjauhi rawatan perubatan alternatif kerana kandungan ubat yang diberikan juga tidak mendapat pengesahan perubatan oleh Kementerian Kesihatan. – UTUSAN










