GEORGE TOWN: Paras air semasa di beberapa empangan di negeri ini masih tidak menunjukkan perkembangan yang positif meskipun hujan di beberapa tempat khususnya pada sebelah pagi atau petang sejak beberapa hari yang lalu.
Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), kapasiti efektif Empangan Air Itam semalam adalah 31.2 peratus, turun kira-kira 0.6 peratus berbanding kelmarin.
Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif juga turun sebanyak 0.2 peratus iaitu daripada 27.6 peratus kelmarin kepada 27.4 peratus, semalam.
Sementara itu, kapasiti efektif Empangan Mengkuang hari ini pula dianggap masih berada pada paras yang normal iaitu sekitar 86.1 peratus.
Dalam pada itu, kakitangan PBAPP beberapa hari lalu dikatakan ada membuat solat Istisqa’ di pekarangan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Ia sebagai sebahagian daripada ikhtiar untuk memohon agar diturunkan hujan.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, PBAPP melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah dua kali menulis surat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memohon supaya pembenihan awan dijalankan di dua kawasan empangan itu.
Bagaimanapun katanya, belum ada sebarang maklum balas berkaitan diterima berhubung perkara itu setakat ini. – UTUSAN










