GUA MUSANG: Polis akan menutup Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara selama lima jam sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, esok.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laluan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu akan ditutup bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurutnya, orang ramai dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan sebaik mungkin serta mengenalpasti laluan yang ditutup disamping menggunakan laluan alternatif bagi mengelak sebarang kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh laluan ditutup.
“Pihak PDRM juga mohon kerjasama semua pihak agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pegawai polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang proses penamaan calon.
“Seramai 579 orang pegawai dan anggota polis dari seluruh Kontinjen Kelantan akan digerakkan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. Manakala untuk penugasan pada hari mengundi, seramai 995 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi memastikan ketenteraman awam di daerah Gua Musang dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pihak polis juga mengingatkan kepada semua calon yang bertanding untuk mematuhi segala undang-undang serta akur akan peraturan dan tidak melakukan kesalahan yang boleh mengganggu gugat kelancaran proses berkenaan.
Katanya, calon dan wakil calon dikehendaki mengawal emosi penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap penyokong parti lain selain tidak dibenarkan mengadakan perarakkan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti.
“Polis mengingatkan semua pihak agar terus bersikap matang dan hormat menghormati antara satu sama lain serta elakkan daripada melakukan sebarang perbuatan atau provokasi dan tidak menyentuh perkara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang kempen PRK DUN Nenggiri yang boleh mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman awam,” ujarnya.
Muhamad Zaki juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan sepanjang tempoh PRK Nenggiri berlangsung.
Katanya, larangan ini juga termasuk tiga tarikh penting sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari pengundian 17 Ogos ini.
“Semua aktiviti pengendalian dron di negara ini tertakluk mengikut Seksyen 4, Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98 dan Peraturan 104-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADS).
“Larangan sama turut termaktub sepanjang 14 hari tempoh berkempen yang bermula sejurus hari penamaan calon dilaksanakan pada 3 Ogos 2024. Larangan ini adalah bagi memastikan kelancaran PRK Nenggiri, selain mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutama membabitkan aspek keselamatan orang ramai khususnya pengundi,” katanya.










