PARLIMEN: Cadangan hukuman sebat mandatori pesalah `deepfake’ lucah - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Cadangan hukuman sebat mandatori pesalah `deepfake’ lucah

ABDUL KHALIB ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Pesalah yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan `deepfake’ berunsur kandungan lucah wajar dikenakan hukuman sebat mandatori.

Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, hukuman terhadap individu yang menghasil atau menyebarkan kandungan lucah berasaskan teknologi `deepfake’ perlu lebih berat berikutan kesan psikologi dan trauma berpanjangan yang ditanggung mangsa.

Menurut beliau, hukuman denda atau penjara sehingga lima tahun yang dicadangkan ketika ini wajar dinaikkan, malah pesalah juga perlu dikenakan hukuman sebatan secara mandatori sebagai pengajaran.

“Hukuman denda atau penjara lima tahun ini perlu dinaikkan. Saya juga mencadangkan pesalah `deepfake’ lucah dikenakan hukuman sebatan mandatori kerana impak kemudaratan psikologi yang dialami mangsa boleh menyebabkan trauma sepanjang hayat.

“Saya turut mencadangkan penubuhan sistem pengecaman wajah kebangsaan yang diintegrasikan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan segera termasuk sekatan akaun media sosial palsu yang mencuri identiti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu `deepfake’ lucah itu turut dibangkitkan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang menggesa perintah sekatan kecemasan dikuatkuasakan serta-merta bagi memaksa pengendali platform media sosial memadam kandungan dalam tempoh beberapa jam, terutama jika melibatkan kanak-kanak.

“Seorang kanak-kanak tidak sepatutnya merayu di internet supaya gambarnya dipadam. Negara kita perlu bertindak, bergerak dengan lebih cepat daripada algoritma,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN