GUA MUSANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail bertekad menjaga kebajikan rakyat jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Mohd. Rizwadi bagaimanapun berkata, ketika ini beliau meletakkan fokus untuk bekerja kepada PN.
“Saya akan bekerja untuk PN dan fokus kepada kebajikan masyarakat DUN Nenggiri.
“Kebajikan itu meliputi semua kebajikan rakyat di DUN ini,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Maahad Muhammadi Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti berterima kasih kepada penyokong yang sanggup datang dan mengiringi calon ke Pusat Penanam Calon di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini hari ini.
Katanya, ramai penyokong parti hadir dan parti berharap dapat bekerja dengan kuat untuk bertemu dengan pengundi di DUN Nenggiri.
“Kita menawarkan perkara yang kita boleh bawa setelah memenangi kerusi ini nanti dan berharap pengundi akan memberi sokongan padu kepada calon PN yang akan bertanding menggunakan logo Pas.
“Pas adalah Bersatu, Bersatu adalah Pas dan kami adalah PN,” ujarnya.
Terdahulu, PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas pada 17 Ogos ini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon BN manakala Mohd. Rizwadi calon PN.- UTUSAN









