SEPANG: Menggunakan MyKad milik ibunya untuk menceroboh masuk ke dalam dewan bedah hospital antara taktik remaja perempuan yang ditahan polis kerana menyamar sebagai doktor, kelmarin.
Lebih ‘memudahkan’ pergerakannya, pintu bilik bedah itu pula didapati rosak sehingga dia dapat berada dalam dewan bedah untuk ‘membantu’ menjalani satu operasi pembedahan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di Serdang, Selangor.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek bukannya menggunakan kad pengenalan palsu, sebaliknya MyKad ibunya.
“Bukan IC (MyKad) palsu, tetapi suspek guna MyKad ibunya. Masuk (dewan bedah) sebab pintu rosak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan remaja terbabit membuat penyamaran itu menggunakan kad pengenalan palsu bagi mengelak identiti dikenal pasti.
Kata KKM, pengurusan HSIS menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan di situ dan tindakan pantas hospital berjaya mengesan identiti individu terbabit serta membuat laporan polis.
Dalam pada itu, ditanya hasil soal siasat ke atas ibu suspek semalam, Wan Kamarul Azran berkata, beliau tidak dapat mendedahkannya buat masa ini.
Ditanya motif suspek melakukan penyamaran, Wan Kamarul Azran memaklumkan, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.
Berhubung sama ada suspek terpengaruh dengan mana-mana aksi filem berkaitan watak penyamaran, Wan Kamarul hanya menjawab ‘tidak’.
Selain itu, katanya, polis tidak menolak kemungkinan remaja itu dirujuk untuk pemeriksaan kesihatan, namun ia boleh dilakukan selepas pertuduhan dilakukan.
Beliau turut mendedahkan remaja itu sudah berhenti sekolah, namun tidak mendedahkan sejak bila suspek berbuat demikian.
Terdahulu, remaja berusia 14 tahun itu ditahan direman dua hari menerusi perintah dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan di Mahkamah Majistret di sini.
Tahanan reman ke atas suspek dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.
Sebelum ini, polis mengesahkan remaja warga tempatan itu ditahan pada 9 pagi kelmarin di lobi HSIS.
Siasatan awal mendapati suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
Polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.
Siasatan juga mendapati, keadaan badan remaja itu yang lebih besar berbanding usia sebenar memudahkan suspek melakukan penyamaran. – UTUSAN










