KEMAMAN: Tekong bot yang terlibat dalam kejadian bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman di sini, Ahad lalu, mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas bot yang menunda tongkang tersebut.
Tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, yang turut menjadi mangsa dalam tragedi itu berkata, ketika kejadian bot miliknya yang sedang bersauh dipasang lampu yang terang dan dapat dilihat dari jarak jauh.
“Sebagai tekong, saya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan memang bertanggungjawab terhadap semua penumpang.
“Saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat punca sebenar kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya demi keadilan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saipul Ridzuan yang lebih 17 tahun berpengalaman sebagai pengendali bot berkata, pemandu kapal yang menunda tongkang itu mungkin tertidur ketika kejadian berlaku.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, Saipul Ridzuan bersama empat lagi pemancing terselamat selepas bergantung pada tong ikan dan barang-barang yang terapung selama dua jam sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, berkata, dia dan keluarganya berharap pengemudi tongkang itu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku.
“Sekarang ini, kami tidak tahu sama ada tongkang itu telah ditahan atau tidak dan kami pun tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
“Kami seboleh-bolehnya nak orang yang langgar kami (tongkang) bertanggungjawab atas apa berlaku untuk keadilan kami semua,” katanya.
Tragedi itu turut mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan pembantu tekong, Shahril Ismail, 50. – UTUSAN










